GROSIR PULSA ELEKTRIC MULTI OPERATOR TERMURAH DAN TERPERCAYA, BUKTIKAN SENDIRI

Fikrah Islam

SENARIO GLOBAL

Saudara-saudara seperjuangan yang dikasihi Allah,

Sebagai umat Islam dan lebih-lebih lagi sebagai generasi penggerak dakwah, pengamatan kepada perkembangan antarabangsa dan mengambil tahu khabar saudara-saudara kita di seluruh dunia menjadi tuntutan kepada kita. Memahami senario gobal, menganalisis cara pemikiran barat, memahami gaya perjuangan antarabangsa, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

Sesama muslim itu bersaudara. Oleh sebab itu, jangan menganiaya dan jangan mendiamkan. Siapa saja yang memperhatikan kepentingan saudaranya, Allah akan memperhatikannya. Siapa saja yang melapangkan satu kesulitan sesama muslim, niscaya Allah akan melapangkan satu kesulitan dari beberapa kesulitannya pada hari kiamat. Siapa saja yang menutupi kejelakan seorang muslim Allah akan menutupi kejelekannya pada hari kiamat. (HR.Bukhari dan Muslim)

Senario antarabangsa menunjukkan beberapa perkembangan menarik di sepanjang tahun 2007. Kemenangan parti AKP di Turki menjadi salah satu tajuk perbincangan hangat di kalangan pemerhati politik antarabangsa. Perkembangan ini juga tidak terlepas dari pemerhatian para aktivis dakwah termasuk di Malaysia. Kemampuan parti Islam ini untuk memenangi hati rakyat di sebuah negara sekular menjadi antara sebab mengapa ia menjadi antara topik hangat perbualan antarabangsa.

Pertukaran tampuk pimpinan di Britain juga menjadi antara berita utama yang memeriahkan kalendar tahunan. Kemampuan Tony Blair mengubah parti buruh menjadi parti pilihan rakyat Britain dikagumi ramai orang. Cuma, di bawah kepimpinan baru ini, adakah sekutu Amerika Syarikat ini masih terus mampu meraih sokongan rakyat lantaran kegagalan misi keamanan antarabangsa anjuran Amerika Syarikat yang mendapat sokongan Tony Blair sebelum ini. Dosa Tony Balir kini, terpaksa ditanggung oleh Presiden baru, Gordon Brown. Dan sehingga kini, nampaknya taring Gordon Brown tidak setajam taring Tony Blair.

Namun begitu, keadaan di Iraq dan Palestin masih lagi sama. Rakyat di Iraq masih lagi tertindas oleh tentera penjajah. Pergaduhan sesama muslimin semakin membimbangkan. Pertentangan puak sunni-syiah masih tiada kesudahan. Amerika, sekali lagi terus ketawa melihat gelagat umat Islam, bergaduh sesama sendiri.

Dalam masa yang sama, bumi suci Palestin masih terus dijajah dan rakyatnya terus dizalimi. Sengketa Hamas dan Fatah terus berlarutan. Mahmoud Abas yang dilihat hanya menjadi boneka Amerika Syarikat kini menjadi duri dalam daging bagi rakyat Palestin. Adakah Mahmoud Abas tidak mahu belajar dari kesilapan lalu Yasser Arafat? Kerajaan HAMAS pilihan rakyat terus dinafikan hak untuk memimpin. Yang terbaru, persidangan Annapolis menjadi pertaruhan terbaru Mahmoud Abas yang kononnya mahu menjadi watak hero dalam pembebasan Palestin. Namun, kita kenal benar permainan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat. Perjanjian damai kali ini dilihat lebih membahayakan apabila melibatkan hak rakyat Palestin. Entahlah, apa pula permainan mereka selepas ini. Dalam hal ini, kita akan terus memberikan sokongan kepada saudara seperjuangan kita di Palestin dalam apa jua bentuk mengikut kapasiti kita. Usaha-usaha menyalurkan bantuan kewangan akan kita teruskan melalui kempen-kempen yang diadakan. Kempen kesedaran Palestin akan terus diperhebat. Serta doa yang tidak akan putus, insya Allah.

Dan kini, setelah Palestin, Afghanistan dan Iraq… adakah Iran akan menjadi sasaran kekejaman Amerika Syarikat yang seterusnya? Jika ya, sudah pasti Amerika Syarikat akan bertemu lawan mereka yang sebenar. Sebagai umat Islam, kita perlu terus memberi sokongan kepada saudara-saudara kita dan memberi tekanan kepada musuh.

Juga tidak kita lupakan juga saudara-saudara kita yang juga memerlukan sokongan kita di seluruh dunia seperti di Moro, Mindanao, dan Selatan Thailand. Sesungguhnya ukhwah Islamiyyah ini tidak mengira sempadan.

SENARIO TEMPATAN

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Tahun ini merupakan tahun yang istimewa buat seluruh rakyat Malaysia apabila tarikh 31 Ogos 2007 yang lalu menandakan kemerdekaan negara kita yang ke-50. Kehangatan sambutan dirasakan sejak awal tahun lagi apabila pelbagai kempen dan promosi berlangsung sempena sambutan ini. Namun, adakah usia kemerdekaan ini menggambarkan tahap kemerdekaan sebenar rakyatnya? Pemikiran, budaya serta gaya hidup jelas masih dijajah oleh penjajah. Kita masih lagi belum berani untuk berbangga dengan produk Malaysia. Budaya masyarakat terutamanya para muda mudi jelas tidak lagi menampakkan ciri ketimuran. Pakaian menjolok mata. Pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan menjadi satu budaya yang biasa. Berpelukan di khalayak ramai sudah menjadi satu bentuk ekspresi kebebasan individu.

Tahun ini juga negara digemparkan dengan berita-berita yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia. Antara yang paling besar ialah kes pembunuhan kejam seorang kanak-kanak di lembah klang. Negara seperti tidak lagi selamat. Itu belum lagi ditambah dengan kes-kes rogol, pembunuhan, samun, culik yang saban hari tersiar di dada akhbar perdana Malaysia. Bilakah agaknya kebejatan moral sebegini dapat diatasi. Selama 50 tahun kita merdeka, pelbagai kaedah diperkenalkan; memperketatkan undang-undang, pelancaran kempen-kempen dan penggubalan akta-akta. Semuanya seperti menemui jalan buntu. Benarlah teori sosial yang diungkapkan oleh seorang penyair:

Demi sesungguhnya, sebuah negara tidak akan terasa sempit kerana penduduknya. Namun akhlak manusia yang akan menjadikannya terasa sempit

Namun, kita yakin, sebenarnya formula sudah ada di hadapan mata namun seperti tidak diendahkan. Islam telah menganjurkan langkah praktikal menurut Al-Quran dan As-Sunnah untuk membentuk masyarakat harmoni. Perubahan perlu dilakukan!

Spekulasi berterusan terhadap pilihanraya umum juga tidak terlepas dari pemerhatian para penggerak dakwah. Pelbagai andaian dibuat terhadap kemungkinan tarikh pilihanraya. Sebagai gerakan mahasiswa, tentu ia menjadi antara topik perbincangan hangat di kalangan ahli. Kita mahu apa yang terbaik untuk rakyat dan juga perjuangan kita. Kita menyokong pemimpin yang boleh membawa aspirasi rakyat, memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan yang paling penting ialah memimpin dengan meletakkan hak Allah dan RasulNya melebihi segala-galaNya. Tapi, sebelum berbicara lebih panjang tentang pilihanraya, saya ingin bertanya, adakah anda telah mendaftar sebagai pengundi?

Saudara perwakilah dan pemerhati yang saya hormati sekalian,

Kedudukan Islam di Malaysia… apa pendapat anda? Alhamdulillah, di dasarnya, kita lihat ‘produk-produk’ berteraskan Islam semakin mendapat sambutan; sistem kewangan Islam, dan pengeluaran makanan halal adalah antaranya. Namun, ini tidak cukup untuk mengatakan Islam sudah tertegak di negara kita. Yang lebih penting adalah pengamalan Islam itu sendiri secara menyeluruh. Bukanlah sesuatu yang baik apabila ada pihak yang cuba untuk mentakrif semula kedudukan Islam di Malaysia, cuba untuk menyamatarafkan semua agama dan cuba untuk mempertikaikan ajaran dan hukum di dalam Islam. Namun, saya ingin berpesan supaya kita tidak mudah melenting. Ya! Kita akan terus bangkit mempertahankan Islam. Dan dalam masa yang sama, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi kefahaman sebenar mengenai Islam ke dalam masyarakat, samada kepada muslim ataupun yang belum Islam. Kita akan terus memberi pandangan melalui kenyataan akhbar atau penulisan-penulisan di media sebagai usaha untuk memimpin pandangan umum berteraskan kefahaman yang sebenar. Dan kita akan terus menyokong usaha penyatuan ummah.